Pada masa kini, transaksi jual beli menggunakan aplikasi e-dagang seperti Shopee, Lazada dan Tiktok Shop telah banyak digunakan oleh masyarakat tidak kira kaum wanita ataupun lelaki.
Kaedah jual beli secara atas talian ini adalah sama seperti jual beli di kedai-kedai kerana adanya pembeli, penjual dan barang jualan. Justeru, hukum berkaitan jual beli sewaktu solat jumaat ini turut terpakai juga dalam kontek jual beli atas talian.
Tidak dapat dinafikan kewujudan aplikasi e-dagang ini memudahkan manusia untuk berjual beli tidak mengira tempat dan waktu. Namun begitu, perbuatan tersebut juga akan membuatkan seseorang itu lalai daripada terhadap ibadahnya.
Sesetengah masyarakat diluar sana terutamanya kaum lelaki yang beragama Islam pasti terlepas pandang atau tidak tahu tentang hukum melakukan jual beli secara atas talian sewaktu solat jumaat.
Berdasarkan artikel dari pejabat mufti, Hukum jual beli secara atas talian sewaktu solat jumaat adalah haram. Ianya kerana boleh melalaikan seseorang daripada menumpukan solat jumaat.

Perkara ini juga adalah sama seperti larangan syarak terhadap melakukan transaksi jual beli di kedai dan seumpamanya yang boleh melalaikan.
Pada mulanya hukum berkaitan melakukan jual beli pada hari jumaat adalah diharuskan. Namun begitu, apabila masuknya waktu solat jumaat, umat Islam perlu segera meninggalkan urusan yang tidak penting dan segera menunaikan solat jumaat.
Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)
Surah al-Jumuah (9).
Jadi, jelaslah disini bahawa hukumnya adalah haram. Gunalah waktu lain selain waktu solat jumaat untuk membeli belah di mana-mana aplikasi e-dagang.